mutakhir

142 pasukan pematuhan di KL, Putrajaya

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

SEBANYAK 142 pasukan pematuhan yang terdiri 926 pegawai dan anggota polis ditugaskan membuat pemantauan di seluruh kontinjen Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, bagi memastikan kesemua larangan dan standard prosedur operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dipatuhi, Polis Kuala Lumpur menubuhkan pasukan pematuhan bertujuan membantu pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam usaha membendung penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, sepanjang tempoh PKPB ini, terdapat 13 aktiviti yang dilarang seperti yang termaktub di dalam Warta Kerajaan Persekutuan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (No. 5) 2020.

"Antara aktiviti itu adalah aktiviti hiburan, riadah, rekreasi, keagamaan, kebudayaan, kesenian dan perniagaan yang boleh menyebabkan ramai orang berhimpun serta beberapa aktiviti lain yang membabitkan perhimpunan ramai dan sentuhan badan di mana penjarakan sosial sukar dikawal.

"Selain aktiviti yang tidak dibenarkan, semua sektor perniagaan, industri, awam dan sosial adalah dibenarkan beroperasi tertakluk kepada syarat dan peraturan semasa SOP ditetapkan oleh pihak berkuasa," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mazlan berkata, SOP ini termasuklah penjarakan sosial, kerap mencuci tangan, memakai pelitup muka, melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan jika terdapat maklumat mengenai jangkitan Covid-19.

"Keutamaan melindungi kumpulan berisiko seperti kanak-kanak, bayi, warga emas dan OKU, individu tidak sihat dan bergejala dikehendaki segera menjalani pemeriksaan kesihatan, bilangan penumpang dalam kenderaan awam perlu mengambil kira penjarakan sosial dan menggalakkan transaksi secara atas talian.

"Polis Kuala Lumpur ingin menasihatkan orang ramai supaya mematuhi larangan dan SOP PKPB ini demi keselamatan dan kesihatan diri masing-masing serta keluarga.

"Orang ramai diminta memberikan kerjasama kepada pihak polis sepanjang PKPB ini bagi memastikan rantaian jangkitan Covus-19 ini berjaya kita putuskan bersama," katanya.

Beliau berkata, orang ramai mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 8:01pm
    d