mutakhir

Pasukan khas pantau kepatuhan PKPB

Oleh Baharom Bakar

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) Terengganu menubuhkan pasukan khas bagi memantau kepatuhan masyarakat terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri itu, berkuat kuasa semalam.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik menegaskan, pasukan itu akan menjalankan rondaan di semua premis perniagaan, tapak binaan, taman rekreasi awam, pasar awam, pasar borong dan pusat pengangkutan awam.

Tegasnya, pegawai dan anggota pasukan itu akan turut memberi tumpuan kepada rondaan dan pemantauan di semua kawasan pasar raya, rumah ibadat, hotel dan rumah tumpangan.

"Pegawai dan anggota itu ditugaskan menangani masalah ketidakpatuhan arahan PKPB kalangan peniaga, pengurus, pengusaha, penjaja dan orang awam.

"Pasukan itu dianggotai PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Penguatkuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu serta Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA)," katanya melalui kenyataan hari ini.

Roslee menjelaskan, pasukan itu akan melakukan rondaan secara dua sesi iaitu bermula 8 pagi hingga 4 petang untuk sesi pertama manakala sesi kedua bermula 4 petang hingga 12 tengah malam.

"Ketika melakukan rondaan, setiap pasukan dianggotai tiga pegawai dan anggota PDRM, ATM (dua), MBKT (tiga), KPDNHEP (tiga) dan masing-masing dua daripada APM dan RELA.

"Kita minta dan berharap seluruh masyarakat termasuk peniaga, pengusaha, pengurus serta penjaja memberikan kerjasama dan sentiasa mematuhi sepenuhnya syarat PKPB, bagi membanteras penularan wabak Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 8:28pm
    d