mutakhir

Tak serik- serik...

Oleh Safuri Kamarudin

LELAKI yang baru keluar dari penjara bagai tidak serik apabila ditahan kerana memiliki sepucuk pistol bersama peluru di Jalan Tesek, Pengkalan Hulu, semalam.

Dalam kejadian 10 malam, suspek berusia 22 tahun ditajhan sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak selepas menerima maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata, suspek yang ditahan untuk pemeriksaan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.

"Pemeriksaan lanjut menjumpai sepucuk pistol yang tidak mempunyai jenama di dalam beg yang diikat di pinggangnya.

"Polis turut menemui empat butir peluru disyaki penabur jenis 12 'bor'," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu, hari ini.

Menurutnya, semakan mendapati lelaki itu baru keluar dari penjara sejak tujuh bulan lalu dan suspek mempunyai beberapa rekod jenayah termasuk kes dadah.

Katanya, saringan ujian air kencing mendapati suspek juga positif dadah jenis methaphetamine .

"Suspek direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 25(1)(n) Akta Pendaftaran Negara (APN) dan Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Sementara itu, Zulkepli berkata, seramai 644 rakyat Thailand yang terkandas dalam tempoh Peraturan Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan pulang ke negara mereka selepas melakukan proses dokumentasi.

"Semua mereka pulang melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Pengkalan Hulu, Perak.

"Manakala seramai 20 warga Malaysia pulang dari Thailand dalam tempoh PKP sehingga semalam," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 8, 2020 @ 8:55pm
    d