mutakhir

Hiba tiada jemaah

Oleh Lizam Ridzuan dan Adnan Ibrahim

MASJID Nurul Iman, Taman Sri Lambak, Kluang, Johor tidak pernah sunyi daripada dipenuhi jemaah setiap kali tiba waktu solat lima waktu.

Kebiasaannya, setiap kali waktu solat, ada lebih 200 jemaah mengimarahkan masjid.

Bagaimanapun, kini ia berbeza, malah imam masjid turut menangis kerana hiba.

Bilal Masjid Nurul Iman Mohd Kholim Selamat, 57, berkata, sebelum ini masjid sentiasa dipenuhi jemaah setiap kali solat Jumaat.

"Setiap kali solat Jumaat, masjid dipenuhi kira-kira 3,000 jemaah namun kini hanya kami bertiga saja yang ada, bahkan kini diganti dengan solat Zuhur.

"Malah, lebih sebak, ada- kalanya menitiskan air mata azan yang saya laungkan hanya disambut oleh imam dan noja. Tidak sebelum ini yang mana suara sambutan laungan azan cukup kuat didengari," katanya.

Antara perkara paling menyentuh perasaan ialah apabila tiba waktu solat sunat Tarawih kerana kebiasaannya hampir 1,000 penduduk di taman perumahan ini akan memenuhi ruang solat.

Sesekali, ketika solat Tarawih dan Subuh, terdengar seolah-olah ramai makmum yang mengaminkan bacaan al-Fatihah oleh imam walaupun hanya kami bertiga yang ada.

Bagaimanapun, ia mungkin hanya perasaan saya kerana selama 14 tahun menjadi bilal, tidak pernah berlaku hanya tiga orang bersembahyang di masjid yang mendapat pengiktirafan empat bintang ini.

Masjid Nurul Iman adalah antara masjid terbaik di Johor kerana jumlah kehadiran jemaahnya yang tidak kurang daripada 200 orang pada setiap waktu solat.

"Saya juga tidak dapat bayangkan perasaan sekiranya solat sunat Aidilfitri kali ini juga hanya membabitkan kami bertiga sedangkan pada tahun-tahun sebelum ini, jemaah melimpah ruah, malah pengurusan masjid memasang khemah tambahan untuk solat.

"Bagaimanapun, walau di mana pun kita bersembahyang ketika ini, sama-samalah kita berdoa agar penularan Covid-19 segera berakhir seterusnya ramai yang dapat mengimarahkan lagi rumah Allah SWT ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 7:45am
    d