mutakhir

Kaunter pandu lalu mudah urusan bayar zakat [METROTV]

Oleh Baharom Bakar

UMAT Islam di Kuala Terengganu boleh membayar zakat fitrah menerusi kaunter pandu lalu Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang disediakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Selain kaunter itu, turut disediakan perkhidmatan kaunter bergerak.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM M Rozi Bidin berkata, pihaknya menyediakan kaunter pandu lalu di pekarangan ibu pejabatnya di Kompleks Seri Iman, bermula Khamis lalu.

Katanya, kaunter itu akan dibuka sehingga Ahad bermula 9 pagi hingga 1230 tengah hari.

"Setakat ini ia hanya dibuka sepanjang PKPB, begitu juga kaunter bergerak, " katanya ketika ditemui selepas memantau urusan pembayaran zakat fitrah, hari ini.

Terdahulu, kaunter pandu lalu itu menghadapi sedikit kesesakan dengan ada yang menunggu giliran selama sejam.

Pemeriksaan mendapati, kesesakan disebabkan ada pembayar zakat yang menggunakan peluang itu untuk membayar zakat simpanan, perniagaan dan harta.

Mengulas lanjut, M Rozi berkata, bagi mengelak kesesakan teruk, umat Islam juga digalak membayar zakat fitrah secara dalam talian.

Katanya, sehingga Selasa lalu 16,762 orang sudah membayar secara dalam talian membabitkan jumlah kutipan RM10,510.

Untuk lokasi yang tiada kemudahan internet, 1,089 amil dilantik untuk memudahkan urusan berkenaan.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 9:58am
    d