mutakhir

Pekerja asing terima sumbangan PEKA

Oleh Ramli Ibrahim

SAAT kehabisan makanan tidak dapat dilupakan bagi 100 warga asing apabila mendapat perhatian Pertubuhan Kebajikan Asnaf (PEKA) Gua Musang, yang menghulur sumbangan hari ini.

Mereka menerima sumbangan kerana tidak boleh bekerja berikutan perintah kawalan pergerakan (PKP) itu membabitkan buruh kilang papan dan penoreh getah.

Seorang buruh warga Indonesia dikenali Asun Baha, 49, mengakui terpaksa ikat perut selama seminggu berikutan kehabisan wang untuk membeli barang keperluan.

Bagaimanapun, dia memuji keperihatinan PEKA menghulurkan sumbang bagi meneruskan kelangsungan hidup dalam saat cemas kehabisan makanan dan wang.

Katanya, PKP cukup mengajarnya untuk berbelanja dengan lebih jimat cermat tetapi disebabkan tempoh perintah itu lama berdepan dengan masalah itu.

"Nasib baik kami mendapat perhatian penduduk tempatan menghulur makanan sudah dimasak terutama bulan Ramadan ini samada berbuka dan bersahur.

"Belum pernah kami berdepan masalah PKP itu dan kami terima kasih juga kepada PEKA yang diibaratkan penyelamat kami untuk kelangsungan hidup,"katanya di Gua Musang, hari ini.

Sementara itu, Pengerusi PEKA Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim pula berkata, pihaknya menerima ramai warga asing terputus bekalan makanan.

Berikutan itu, beliau terpaksa membantu mereka dengan menghulur bakul makanan supaya tidak berdepan dengan kebuluran.

Katanya, walaupun mereka warga asing dari Indonesia, Bangladesh dan Myanmar, namun kewajipan PEKA mengambil cakna dan turut membantunya.

"Kita tidak abai keperluan warga asing itu bagi mendapat keperluan makanan dalam tempoh PKP ini kerana kita memahami hidup terdesak kerana tidak boleh bekerja," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 11:36am
    d