mutakhir

Sofa, botol air mineral kekalkan 'muscle'

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

SEPATUTNYA dia mewakili negara untuk Kejohanan Musclemania Dunia 2020 di Las Vegas, Amerika Syarikat pada April lalu tetapi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia menyebabkan ia tertangguh hingga ke hari ini.

Muhd Ismail Ahmad, 34, dari Kuala Selangor berkata, dia tetap kekal bersedia dan berterusan menjalani latihan pada setiap hari bagi menyertai Kejohanan Musclemania Dunia 2020 itu.

"Jika ikutkan memang sedih kerana impian untuk menyinar dan mengharumkan nama negara di kejohanan itu tertangguh kerana PKP tetapi saya tidak menyalahkan penganjur atau mana-mana pihak dan sentiasa positif.

"Walaupun tidak dapat menjalani latihan angkat beban di gimnasium kerana PKP tetapi rutin latihan yang dijalankan sebelum menyertai kejohanan itu tetap diteruskan di rumah.

"Selain peralatan senaman asas yang ada seperti 'dumbell', saya turut menggunakan sofa dan botol air mineral bersaiz besar untuk menjalani latihan bagi memastikan keadaan tubuh sentiasa bersedia untuk menyertai kejohanan itu," katanya ketika dihubungi di Kuala Terengganu hari ini.

Muhd Ismail berkata, dia difahamkan Kejohanan Musclemania Dunia 2020 yang akan berlangsung di Las Vegas akan dianjurkan pada November ini tetapi bergantung kepada keadaan semasa dan status penularan Covid-19 di seluruh dunia.

"Jika keadaan pandemik Covid-19 beransur pulih, peserta dari seluruh dunia yang layak bertanding akan dipanggil pada bila-bila masa untuk menyertai kejohanan berkenaan.

"Oleh demikian, saya perlu sentiasa kekal aktif menjalani latihan pada setiap hari termasuk pada sepanjang Ramadan ini.

"Biasanya saya akan memulakan latihan pada 5.30 petang hingga 7 malam pada Ramadan dan perlu mengambil lima hidangan makanan berasaskan sumber protein sebelum tidur dan ketika sahur," katanya.

Muhd Ismail Ahmad sebelum ini tular di media sosial apabila menjadi johan empat kategori pada Kejohanan Musclemania Asia 2019 di Singapura pada 14 Disember lalu selepas mengenepikan 50 peserta lain dari India, China, Taiwan, Filipina, Jepun, Korea Selatan, Jamaica dan Amerika Syarikat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 12:59pm
    d