mutakhir

Mesyuarat khas MKN bincang solat berjemaah

Oleh Isma Ismail dan Yusmizal Dolah Aling

JAWATANKUASA Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membincangkan isu solat berjemaah di masjid.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia juga akan dibawa ke mesyuarat kabinet untuk diputuskan kerana membabitkan isu besar berkaitan agama.

Katanya dalam mesyuarat hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri juga sudah membentangkan perkara itu dan ia akan dirujuk kepada jawatankuasa berkenaan.

"Menteri agama sudah bentang kepada mesyuarat pagi tadi, oleh kerana ini isu besar, isu agama dan sebagainya.

"Kita akan rujuk kepada jawatankuasa khas MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri dan ia juga akan dibawa ke Kabinet. Jadi tunggulah keputusan selepas mesyuarat kabinet yang akan diumumkan menteri agama," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Semalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali kelima diadakan bagi membincangkan garis panduan solat Jumaat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Garis panduan itu disediakan bagi penelitian semua mufti seluruh negara selaku pihak berkuasa agama negeri dan ahli dilantik Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 3:47pm
    d