mutakhir

Kedai pajak gadai jadi tumpuan

Oleh Zuhainy Zulkiffli

KEDAI pajak gadai antara yang menjadi tumpuan orang ramai selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mula dilaksanakan di Pulau Pinang, semalam.

Tinjauan Harian Metro di Jalan Dato Ismail Hashim, Bayan Lepas mendapati pelanggan sudah mula berbaris sejak awal pagi menanti kedai pajak memulakan operasi pada 9 pagi.

Dianggarkan hampir 100 pelanggan berbaris lebih 50 meter bagi memasuki kedai berkenaan.

Pelbagai gelagat dapat dilihat, ada yang duduk bertinggung dan ada yang mengambil pelindung cahaya kereta untuk berteduh dari sinaran matahari.

Didapati pemilik dan kakitangan kedai pajak gadai berkenaan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengambil suhu badan dan menyediakan cecair pembasmi kuman selain mengambil butiran diri pelanggan.

Pelanggan, M Surendren, 40, berkata, dia ke kedai pajak berkenaan bagi menebus semula barang kemas yang digadai sebelum ini selain membayar faedah.

Katanya, dia faham dengan urusan masuk ke kedai berkenaan yang sedikit lama kerana pelanggan perlu mematuhi SOP bagi mencegah penularan Covid-19.

"Saya faham ini adalah normal baharu, saya juga perlu tunggu kerana tidak mahu bertangguh lagi.

"Saya percaya ramai rakyat Malaysia yang menghadapi saat sukar begini dengan membuat gadaian barang kemas masing-masing bagi meneruskan kehidupan," katanya.

Peniaga, Ridzwan Ismail, 49, pula berkata, dia menunggu di hadapan kedai berkenaan seawal 8 pagi untuk membuat gadaian barang kemas kerana tidak mempunyai sumber kewangan.

"Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) saya tidak dapat menjana pendapatan. Saya belum terima sumbangan kewangan termasuk Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diagihkan secara berperingkat.

"Ini sahaja cara yang ada, gadai dahulu barang kemas sementara menanti BPN," katanya.

Difahamkan bukan semua pelanggan mahu membuat gadaian baru, tetapi ada yang mahu membayar faedah dan menebus semula barangan kemas yang digadai sebelum ini.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 6:22pm
    d