mutakhir

Sesaknya Jalan Wangsa Melawati 3

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

LOKASINYA di laluan utama menyebabkan deretan gerai menjual juadah berbuka di Jalan Wangsa Melawati 3, Kuala Lumpur, sesak dengan kenderaan apabila orang ramai berkumpul untuk membeli makanan.

Tinjauan di lokasi itu bermula jam 4.30 petang tadi mendapati ada pengunjung yang menjaga jarak sosial satu meter namun ada juga yang tidak mempedulikannya dan berada rapat ketika memilih makanan.

Selain kesesakan jalan raya di sepanjang jalan itu, ada beratur mengikut saranan kerajaan dan memakai pelitup muka namun ada juga yang tidak memakainya dan bergerak bebas seolah-olah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah ditamatkan.

Ada gerai juadah berbuka puasa turut membuat garisan satu meter dan menyediakan laluan masuk dan keluar bagi mengelakkan mereka berada secara rapat namun ia tetap tidak diendahkan.

Malah ada yang memandu kereta membeli secara pandu lalu di kawasan itu menyebabkan berlaku sedikit kesesakan.

Penduduk tempatan yang ingin dikenali sebagai Hasnah, 40, berkata, dia yang baharu hari ini datang untuk membeli juadah agak terkejut kerana masih ada yang tidak menjaga keselamatan diri mereka apabila tidak mengamalkan jarak sosial.

Menurutnya, dia agak bimbang ketika ingin membeli juadah dan cuba mengelak jika gerai terbabit terlalu ramai orang.

"Sepatutnya orang ramai mempunyai kesedaran kerana kita belum betul-betul bebas daripada Covid-19," katanya.

Sementara itu, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Dahlan berkata, tindakan akan diambil penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ke atas penjaja jual bazar juadah di kawasan itu yang memang tiada kebenaran.

Menurutnya, kebenaran hanya diberikan kepada gerai pasar di lokasi sedia ada yang mempunyai lesen saja.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 9, 2020 @ 8:01pm
    d