mutakhir

Majoriti setuju PKP diteruskan

Oleh Rosyahaida Abdullah

LEBIH tiga perempat pengguna berharap Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dapat diteruskan meskipun penguatkuasaan Fasa 4 bagi perintah itu dijadualkan berakhir pada 12 Mei ini.

Berdasarkan kaji selidik di laman Facebook Harian Metro sejak jam 10 pagi semalam, hanya 22 peratus daripada lebih 80,000 pengguna yang menyertai undian berpendapat PKP boleh ditamatkan.

Manakala, majoriti iaitu sebanyak 78 peratus pengguna berharap PKP dilanjutkan untuk kebaikan semua.

Meskipun Syawal semakin hampir, rata-rata pengguna khususnya umat Islam berpandangan kesihatan perlu diutamakan selain mengambil iktibar daripada negara luar yang cepat menamatkan PKP.

Antaranya, pengguna Facebook yang menggunakan nama Hazatul Aiza yang khuatir jika kes semakin meningkat memandangkan kini wujud kluster baharu.

"Lebih baik teruskan dulu sebab ada kluster baharu, kita tidak tahu selepas 14 hari mungkin kluster ini akan bertambah.

"Kasihan jika berjangkit terutama anak-anak kecil," katanya menerusi komen yang ditinggalkan pada undian itu.

Begitu juga dengan pengguna Facebook yang menggunakan nama Pelangi Senja yang membayangkan umat Islam di negara akan mula keluar membeli-belah pada 13 Mei nanti sebagai persediaan menyambut Aidilfitri jika PKP ditamatkan.

"Rasanya perlu diteruskan sampai lepas raya. Kalau tidak diteruskan, 13 hari bulan semua keluar beli kelengkapan raya, sudah rancang balik raya. Lepas raya masing-masing jadi pembawa virus pula," katanya.

Bagi Rina Arina, PKP perlu diteruskan seperti mana dilaksanakan sekarang yang memberi kelonggaran kepada rakyat untuk keluar namun masih dalam langkah berjaga-jaga.

"Teruskan macam sekarang. Boleh keluar tapi masih berjaga-jaga. SOP dikekalkan, jaga kendiri, kita jaga diri masing-masing dan elakkan tempat ramai orang," katanya.

Bagaimanapun, berbeza bagi Muhammad Alias yang berpendapat PKP hanya perlu diteruskan untuk zon merah serta memberi tumpuan kepada masjid.

"Tamatkan (PKP) cuma teruskan di kawasan zon merah. Paling penting, tolong fokus kepada masjid. Buka untuk kita sambut bulan mulia ini dengan baik.

"Ujian bagi kita. Yang lain, amalkan langkah kebersihan dan ikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Insya-Allah, Tuhan tolong kita. Sama-sama berdoa yang baik-baik untuk kita semua," katanya.

Pendapat Muhammad Alias turut menyamai komen yang dikongsi Afisz Aris yang menyifatkan pelaksanaan SOP sudah mencukupi untuk mengekang wabak Covid-19.

"Tamat saja. Kereta penuh dekat jalan raya, orang semua bersepah merata-rata. SOP saja diteruskan.

"Kalau nak tunggu sifar kes bukannya mudah, makan masa. Kira kes sudah bawah 100 sudah baik jika dibandingkan negara lain," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 12:39pm
    d