mutakhir

Lalu lintas lancar

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

LALU lintas di lebuh raya utama dilaporkan lancar pada hari terakhir perjalanan antara negeri, hari ini.

Laluan hari ketiga ini membabitkan individu atau keluarga yang terkandas dari Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu bergerak ke destinasi masing-masing.

Pengarah Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, setakat jam 1 tengahari tadi tiada kesesakan besar dilaporkan berlaku terutamanya laluan dari arah tiga negeri terbabit.

"Kami memantau keadaan lalu lintas dari semasa ke semasa sejak hari pertama yang membabitkan laluan dari arah Kuala Lumpur ke pelbagai destinasi.

"Setakat ini keadaan dilaporkan terkawal dan tidak ada masalah besar yang terjadi," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, keseluruhan pergerakan lalu lintas pada hari pertama dan kedua juga lancar.

"Pemandu kenderaan yang terbabit dalam perjalanan antara negeri melakukannya dengan teratur selain mengikut arahan ditetapkan" katanya.

Sementara itu, JSPT menarik balik sekatan jalan raya di sepanjang lebuh raya untuk memudahkan pergerakan antara negeri.

Azisman berkata, pihaknya bagaimanapun menubuhkan tujuh pos kawalan di sepanjang lebuh raya.

"Pos kawalan berfungsi sebagai alat bagi anggota JSPT untuk memantau keadaan lalu lintas dan membantu jika terdapat masalah dalam lalu lintas.

"Kami berhasrat memastikan perjalanan berjalan lancar bagi semua yang terbabit," katanya.

Menurutnya, bagaimanapun sekatan jalan raya akan dilakukan pada peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri dan Daerah masing-masing di jalan raya persekutuan dan negeri.

"JSPT juga sudah menubuhkan 'Jem Squad' untuk bertindak balas terhadap kesesakan lalu lintas di seluruh negara jika dan ketika ia terjadi.

"Pemandu kenderaan yang bergerak antara negeri dinasihatkan untuk memandu dengan selamat dan menahan diri daripada memandu laju," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan

  • Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 2:55pm
    d