mutakhir

Permohonan BPN tidak lulus, boleh rayu lagi [METROTV]

Oleh Maiamalina Mohamed Amin dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

ORANG ramai boleh membuat rayuan sekiranya permohonan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) tidak diluluskan, mulai esok.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Menteri Kewangan bersetuju melanjutkan tempoh rayuan permohonan BPN sehingga 31 Mei ini.

Menurutnya, selain menghantar emel, pemohon boleh hadir sendiri ke kaunter Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat rayuan itu.

"Saya dengar ada rungutan daripada orang ramai yang gagal menerima bayaran ini atas pelbagai sebab.

"Antaranya kerana maklumat yang diisi tidak lengkap, permohonan ditolak kerana dalam rekod menunjukkan pendapatan melebihi syarat kelayakan tetapi mereka sebenarnya sudah hilang pekerjaan dan hilang sumber pendapatan serta pemohon adalah pelajar yang menerima bantuan BPN bagi kategori bujang," katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.

Menurut beliau, kerajaan tidak dapat berjanji semua rayuan boleh diluluskan namun yang memenuhi syarat dan munasabah boleh diluluskan.

Muhyiddin berkata, sehingga semalam kerajaan sudah meluluskan 2.3 juta permohonan BPN termasuk permohonan baharu dan rayuan membabitkan jumlah perbelanjaan sebanyak RM1.7 bilion.

"Dengan kelulusan berkenaan, jumlah penerima BPN setakat ini ialah 10.6 juta orang membabitkan bayaran berjumlah RM11 bilion," katanya.

BPN diberikan kerajaan untuk membantu menampung pendapatan rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Berita berkaitan:

  • 'Terima kasih saudara saudari...'
  • 'Jika SOP teratur, masjid sedia untuk dibuka'
  • Suami isteri tinggal berjauhan boleh rentas negeri
  • Hanya 4 kawasan merah
  • Permohonan BPN tidak lulus, boleh rayu lagi
  • Beraya dalam negeri sahaja
  • PKPB dilanjutkan 4 minggu
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 2:57pm
    d