mutakhir

Orang takut berkunjung ke Plaza City One

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

GUNA media sosial untuk mempromosikan perniagaan. Itu inisiatif diambil peniaga terjejas akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini.

Peniaga manik, Fazal Wahab, 30, berkata, jumlah pengunjung yang berkurangan ke premis jualannya di Plaza City One menyebabkannya menggunakan media sosial untuk berniaga.

"Sebelum ini, premis terpaksa ditutup kerana Plaza City One dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sebelum dibuka semula pada 6 Mei lalu.

"Bagaimanapun pada hari pertama dan kedua beroperasi, tiada langsung pelanggan yang datang. Justeru, saya mengambil inisiatif melakukan promosi di media sosial memandangkan tidak ramai pelanggan datang ke premis," katanya ketika ditemui, di Kuala Lumpur, hari ini.

Fazal berkata, jumlah jualan diperolehnya sepanjang tahun ini juga menurun kerana permintaan rendah daripada tukang jahit walaupun menjelang dua minggu sambutan Hari Raya Aidilfitri.

"Selalunya pada waktu ini, sudah banyak tempahan manik diterima. Namun, keadaan semasa menyebabkan tidak ramai tukang jahit menempah manik bagi menjahit pakaian hari raya.

"Disebabkan itu, saya juga menawarkan harga promosi kepada pelanggan tetap memandangkan pelanggan tidak mampu membeli pada harga tinggi," katanya.

Sementara itu, peniaga tudung, Nur Anis Mohd, 30, berkata, ramai pelanggannya yang tinggal berhampiran juga bimbang mahu ke premisnya di Plaza City One susulan pelaksanaan PKPD di bangunan berkenaan sebelum ini.

"Pada hari pertama kedai ini beroperasi pada 7 Mei lalu sehingga kini, hanya lima hingga enam pengunjung singgah setiap hari. Saya dimaklumkan pelanggan bahawa mereka takut untuk datang ke kedai kerana kawasan ini pernah dikenakan PKPD.

"Situasi ini menyebabkan saya menggunakan media sosial untuk mempromosikan jualan yang didapati lebih mendapat perhatian berbanding di premis," katanya.

Katanya, dia tidak mengenakan diskaun istimewa kepada pelanggan ketika ini memandangkan jualannya dilakukan secara borong.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 3:39pm
    d