mutakhir

'Dah besar susahkan orang' [METROTV]

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

BUKAN sekadar berlumba, sekumpulan tujuh penunggang motosikal nekad melakukan aksi berani mati apabila menunggang kenderaan mereka melawan arus.

Tindakan mereka mengundang padah apabila ditahan dalam Operasi Samseng Jalanan berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), di Kajang, 12 tengah malam tadi.

Dalam operasi itu, pihak polis turut menahan lapan individu yang menonton perlumbaan haram berkenaan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Malah, seorang daripada lapan individu yang ditahan itu pernah dikenakan kompaun RM1,000 kerana melanggar perintah PKP, pertengahan April lalu.

Remaja lelaki berusia 18 tahun itu memberikan alasan motosikal Modenas Kriss ditunggangnya rosak ketika berada di lokasi berkenaan.

"Saya dalam perjalanan ke rumah rakan di Semenyih sebelum ditahan polis. Apabila sampai di lokasi, enjin motosikal mati dan saya sedang menunggu rakan sebelum ditahan.

"Sebelum ini, saya pernah direman sehari dan dikenakan kompaun RM1,000 kerana langgar PKP kerana keluar rumah selepas jam 10 malam," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang, awal pagi tadi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis melakukan pemantauan sebelum mengekori tiga motosikal yang ditunggang melakukan aksi bersaing sesama sendiri, menundukkan badan dan zig-zag di lokasi berkenaan.

"Mereka dilihat bermula dari Kilometer 3.3 di hadapan Plaza Tol Kajang Selatan sehingga di Kilometer 5.0 berhampiran susur masuk Semenyih dan berpatah balik di laluan sama (melawan arus).

"Beberapa minit kemudian, pasukan sama menemui empat lagi motosikal yang ditunggang turut melakukan aksi sama dan aksi 'Superman' di laluan berkenaan.

"Selain itu, kami menahan lapan individu yang berada di lokasi untuk menonton perlumbaan berkenaan kerana melanggar PKPB," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua individu yang ditahan dibawa ke IPD Kajang untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pelumba.

"Selain itu, pelumba dan penonton juga akan disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana melanggar PKPB," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 10, 2020 @ 4:46pm
    d