mutakhir

Orang Asli redah lumpur tuntut BPN

Oleh Ramli Ibrahim

KELONGGARAN arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan membenarkan perjalanan lebih 10 kilometer menyebabkan Orang Asli di Gua Musang mengambil kesempatan ke bank hari ini.

Mereka yang tinggal jauh pedalaman mengambil peluang ke bank bagi menuntut wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

Seorang penduduk Orang Asli Pos Belatim, Amran Pandak, 46, mengakui terpaksa beratur di Bank Simpanan Nasional (BSN) sejak 8 pagi.

Menurutnya, dia keluar dari rumahnya bersama 10 rakan lain sejak petang semalam dan tinggal di rumah transit Orang Asli di bandar itu sebelum ke bank pagi ini.

Katanya, perjalanan keluar ke bandar dari penempatannya mengambil masa lima jam melalui jalan berlumpur.

"Sebelum ini, kita dihalang keluar kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perjalanan juga tidak dibenarkan melebihi 10 Kilometer, sebab itu kita tangguh hingga ke hari ini untuk ke bank bagi menuntut BPN.

"Nasib baik juga kerajaan memberi kelonggaran PKPB, jika tidak tentunya kami semua terpaksa menangguh lagi urusan menuntut BPN," katanya.

Seorang lagi penduduk Orang Asli, Angah Along, 45, dari Pos Simpor berkata, pihak bank udah membenarkan urusan menuntut BPN sejak 1 April lagi.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan mereka tinggal jauh di pedalaman dan adanya PKP membuatkannya terpaksa menunggu masa yang sesuai untuk ke bandar.

"Kami juga terpaksa kejar masa pula untuk pulang kerana perjalanan jauh dengan menunggang motosikal melalui jalan balak yang berselut," katanya.

Menurutnya, dia terpaksa bergantung makanan hasil sumbangan daripada pelbagai pihak termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) sepanjang tempoh PKP yang dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 11:02am
    d