mutakhir

Jawi kekalkan SOP urus jenazah

Oleh Noor Atiqah Sulaiman

JABATAN Agama Wilayah Persekutuan (Jawi) menetapkan hanya lapan individu dibenarkan untuk menguruskan jenazah di tanah perkuburan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan.

Pengarah Jawi, Mohd Ajib Ismail berkata, lapan individu itu termasuklah dalam kalangan pegawai masjid atau ahli jawatankuasa surau serta ahli keluarga terdekat.

Menurutnya, ia adalah prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan sejak PKP dilaksanakan dan pihaknya berpendirian untuk menggunakan prosedur yang sama untuk PKPB.

"Kami masih gunakan SOP seperti PKP sebelum ini, semua yang mengendalikan jenazah di tanah perkuburan perlu mengikuti SOP yang ditetapkan oleh kerajaan.

"Antaranya sentiasa mengamalkan penjarakan sosial, memakai penutup mulut dan hidung dan sentiasa basuh tangan atau gunakan cecair pembasmi kuman selepas menguruskan jenazah kematian biasa di kubur," katanya dihubungi di Putrajaya hari ini.

Mohd Ajib berkata, pihaknya sudah mengeluarkan surat pekeliling mengenai SOP di tanah perkuburan kepada semua pihak yang menguruskan surau dan masjid di Wilayah Persekutuan.

Bagaimanapun, bagi aktiviti ziarah tanah perkuburan pula pihaknya menetapkan hanya 20 individu dalam satu masa dengan mengekalkan jarak satu meter antara satu sama lain seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Jawi memberikan sedikit kelonggaran untuk aktiviti ziarah tanah perkuburan oleh waris terdekat ketika Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelma dalam tempoh PKPB ini.

"Walaupun aktiviti ziarah dibenarkan, namun ia masih dengan jumlah yang dikawal iaitu hanya 20 individu dalam satu masa bagi mengelakkan orang ramai berkumpul di kawasan terbabit," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 12:36pm
    d