mutakhir

ATM ketuai pasukan khas kawal 'lorong tikus' [METROTV]

Oleh Isma Ismail dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KERAJAAN menubuhkan pasukan khas yang diketuai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi mengawal kemasukan warga asing di 'lorong tikus' yang dikenal pasti.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya sudah mengenal pasti kawasan yang dijadikan lorong tikus seperti di pantai barat, pantai timur Sabah dan Sarawak.

"Mengenai lorong tikus kerajaan sudah mewujudkan pasukan khas yg diketuai ATM bersama agensi penguatkuasaan lain.

"Pasukan khas ini akan mengawal pintu masuk yang tidak rasmi (lorong tikus) secara bersepadu," katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, semua aset juga akan disatukan supaya kawalan sempadan lebih tersusun.

"Sebenarnya, kita sudah ada tangkapan yang dibuat selepas mengadakan Ops Bersepadu, apa yang kita lakukan sebenarnya mampu untuk menyekat warga asing dari lorong tikus.

"Polisi kita jelas, kita menutup pintu negara kita kepada warga asing, yang boleh masuk ke negara kita hanya rakyat Malaysia, itu pun perlu menjalani kuarantin secara wajib," katanya.

Sementara itu, menurut Ismail Sabri, beberapa kluster baru yang muncul bukan disebabkan ketidakpatuhan majikan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Sebagai contoh di Pedas, berlaku jangkitan di kilang ayam kerana orang luar iaitu datang untuk mengambil gaji dan ia menjangkiti orang lain.

"Begitu juga kakitangan hospital, dulu kecoh barisan hadapan ini dijangkiti tetapi sebenarnya tidak kerana ada individu dari luar pernah pergi kenduri dan sebagainya, maknanya ia bukan ketidakpatuhan SOP dalaman," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 3:05pm
    d