mutakhir

'Berkulat' selepas 2 bulan tutup operasi

Oleh Yun Mikail

GEDUNG beli-belah Metrojaya mengesahkan gambar tular memperlihatkan kerosakan pada barangan kulit serta pakaian di cawangan Metrojaya Suria Sabah di Kota Kinabalu.

Pengendali gedung beli-belah itu, Kumpulan The MUI mengakui berlaku kerosakan pada sebahagian barangan jualan mereka di Metrojaya Suria Sabah, namun kesal dengan penyebaran gambar terbabit yang sepatutnya untuk kegunaan siasatan dalaman sahaja.

Ketua Pemasaran Kumpulan The MUI, Karen Mak berkata, ada pelbagai sebab mengakibatkan barangan di premis berkenaan dalam keadaan seperti itu, namun punca sebenar masih dalam siasatan.

Beliau berkata, semua barangan yang rosak sudah dikeluarkan daripada rak pameran dan digantikan dengan stok baharu.

"Kami menutup operasi selama hampir dua bulan sejak 18 Mac lalu sesuai dengan arahan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Kami mengambil langkah pencegahan yang diperlukan mengikut panduan pencegahan Covid-19 yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan memberi jaminan pelanggan boleh membeli-belah dengan selamat di premis terbabit," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, Metrojaya Suria Sabah dijangka bakal beroperasi semula pada 13 Mei ini.

Terdahulu, beberapa keping gambar menunjukkan barangan dipercayai di Metrojaya Suria Sabah mengalami kerosakan teruk dan berkulat selepas premis terbabit tidak dibenarkan operasi sepanjang PKP.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 11, 2020 @ 8:46pm
    d