mutakhir

'Ini sumbangan kecil saya'

Oleh Muhaamad Hafis Nawawi

WALAUPUN pendapatannya terjejas apabila kawasan kediamannya dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) namun seorang peniaga tetap membantu pasukan barisan hadapan yang bertugas dengan menyerahkan 25 bungkusan roti john semalam untuk dijadikan juadah berbuka puasa.

Safizan Yakin, 45, berkata, walaupun dia terperangkap apabila kawasan berhampiran Pasar Jalan Othman dikenakan PKPD namun tetap tidak menghalang dirinya untuk bersedekah di bulan mulia ini.

Menurutnya, dia yang mengusahakan roti john menyediakan sebanyak 25 bungkus sebelum diedarkan bermula jam 6 petang kepada pasukan barisan hadapan yang sedang bertugas.

"Pemberian ini sedikit sebanyak dapat memberi kegembiraan kepada pasukan barisan hadapan ketika berbuka puasa.

"Ini salah satu usaha kecil saya membantu mereka yang bertungkus lumus mencegah penularan Covid-19," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Safizan berkata, dia sekeluarga sudah menjalani saringan Covid-19 itu dan setakat ini belum menerima berita berkaitan kes baharu penduduk yang positif Covid-19 di kawasan itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 12, 2020 @ 12:50pm
    d