mutakhir

Benarkan warga asing masuk langkah terakhir

Oleh Saipul Adli Mohamad

MEMBUKA semula pintu sempadan untuk membenarkan warga asing memasuki negara ini adalah langkah terakhir akan dilakukan kerajaan.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, malah ketika ini apa perlu dilakukan adalah memperketatkan lagi kawalan di pintu sempadan dalam usaha memutuskan penularan Covid-19.

Beliau berkata, fokus Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) buat masa ini adalah penularan transmisi tempatan supaya virus tiada dalam komuniti.

"Kawalan sempadan adalah sangat penting sebab kita sudah lihat apabila terdapat 360 rakyat Malaysia pulang dari luar negara didapati positif Covid-19.

"Seramai 88 daripadanya hanya dapat dikesan positif ketika ujian 'swab' (calitan tekak dan hidung) kali kedua dijalankan.

"Ujian pertama hasilnya negatif. Kita kuarantin mereka dan selepas hari ke-13 lakukan semula ujian 'swab', mereka positif.

"Disebabkan itu, kita sangat ambil berat hal pembukaan sempadan, ia akan menjadi pilihan terakhir," katanya pada sidang media harian perkembagan terkini Covid-19 di KKM, Putrajaya, hari ini.

Mengulas mengenai kebenaran operasi kedai gunting rambut di beberapa negara lain, katanya, sebarang keputusan bergantung kepada hasil Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dimulakan pada 4 Mei lalu.

Menurutnya, berdasarkan tempoh inkubasi 14 hari bermakna hasil PKPB hanya akan dapat dilihat pada 18 Mei ini.

"Pada 4 Mei lalu, kerajaan membuka semula sektor ekonomi secara berhati-hati menerusi PKPB.

"Ia dilakukan secara berperingkat. Apabila kita dapati kes menurun atau mendapat hasil yang positif daripada PKPB itu, maka sektor lain juga mungkin dipertimbangkan termasuk pendidikan dan sosial serta perniagaan boleh operasi semula seperti kedai gunting rambut.

"Kita memantau rapat kes setiap hari berkaitan Covid-19 bagi tempoh PKPB ini seperti yang dilakukan ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa satu hingga empat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 13, 2020 @ 6:15pm
    d