mutakhir

Tiada aduan penjualan cecair pembunuh kuman buatan sendiri

Oleh Nurul Amanina Suhaini

TIDAK ada sebarang aduan berkaitan wujudnya cecair pembasmi kuman buatan sendiri di pasaran.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pengguna dinasihatkan membuat pembelian secara bijak terutama apabila membabitkan soal keselamatan dan kesihatan diri.

"Hati-hatilah membeli sebab sekarang kita (KPDNHEP) belum terima aduan. Jadi, yang kita pastikan adalah harga berpatutan dan daripada segi bekalannya.

"Mungkin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membantu keberkesanannya juga. Jadi standardnya berlainan.

"Dengan barangan sebegitu, kita harus bekerjasama dengan agensi lain," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke sebuah gudang di Masai, Pasir Gudang hari ini.

Dalam pada itu, berhubung aduan pengguna mengenai penjualan pelitup muka terpakai, pihaknya memaklumkan sehingga kini tiada laporan diterima.

"Kita tidak terima (aduan) itu. Aduan kebanyakannya dijual mahal (pelitup muka) daripada harga yang sudah diletakkan," katanya.

Terdahulu, katanya, KPDNHEP turut melaksanakan pemeriksaan ke atas harga dan juga bekalan barang keperluan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac hingga 12 Mei lalu.

"Jumlah pemeriksaan premis yang dijalankan seluruh negara adalah sebanyak 53,349 premis dan daripada jumlah itu, 40,469 premis runcit, borong (11,453) dan kilang (1,427)," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 3:44pm
    d