mutakhir

Covid-19: 92 sampel pelajar, kakitangan UPSI diambil

Oleh Rosman Shamsudin

SEBANYAK 92 sampel ujian Covid-19 sudah diambil daripada kontak rapat yang terdiri daripada rakan penuntut, pihak pengurusan dan kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Muallim.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, tindakan itu dibuat susulan notifikasi diterima Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muallim daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) pada 11 Mei lalu mengenai dua kes positif Covid-19 dalam kalangan penuntut UPSI yang pulang ke Sabah

Menurutnya, pihak PKD Muallim segera menghubungi pihak pengurusan UPSI untuk menjalankan aktiviti penyiasatan kes dan saringan kontak rapat kes positif bagi menentukan punca jangkitan dan tahap penularan jangkitan dalam kalangan warga UPSI.

"Kedua penuntut berkenaan dihantar pulang pada 6 Mei lalu dan sudah disaring pada hari yang sama.

"Mereka kemudiannya dikesan positif pada 11 Mei oleh JKN Sabah.

"Ia adalah merupakan sebahagian dari prosedur operasi standard (SOP) mengenai pengendalian jangkitan Covid-19 yang dilaksanakan di lapangan, khususnya oleh pihak PKD," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau berkata, sebanyak lima sampel sudah didapati negatif untuk Covid-19, manakala keputusan ujian bagi sampel yang selebihnya masih belum diperolehi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 4:35pm
    d