mutakhir

Solat Jumaat, berjemaah perlu tunggu keizinan negeri

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Mahaizura Abd Malik

KEBENARAN menunaikan solat Jumaat dan berjemaah di masjid serta surau ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa negeri masing-masing.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Perlembagaan Persekutuan menetapkan urusan berkaitan hal ehwal Islam berada pada ruang lingkup dan bidang kuasa negeri yang tertakluk di bawah naungan Raja-Raja setiap negeri.

Beliau berkata, hal itu jelas disebut mengikut Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

"Maka, cadangan pelaksanaan solat Jumaat dan berjemaah dalam tempoh PKPB yang diusulkan dalam Muzakarah Khas itu adalah satu pandangan dan nasihat untuk dipertimbangkan dan diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

"Buat masa ini, Pok De dan Mok De tak perlu cepat-cepat ke masjid lepas dengar sidang media saya ni, sehinggalah pihak berkuasa agama negeri Pok De dan Mok De umumkan keizinannya.

"Kita patuh kepada pihak berkuasa agama negeri," katanya dalam sidang media khas di Putrajaya, hari ini.

Meskipun diberi sedikit kelonggaran, beliau merayu kepada semua umat Islam mematuhi garis panduan ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Elak tempat yang sesak, pakai hand sanitizer (cecair pembasmi kuman) atau basuh tangan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan sosial dan keluar rumah jika perlu saja.

"Negeri yang sudah mendapat kebenaran menunaikan solat Jumaat dan solat berjemaah bersyarat oleh pihak berkuasa agama negeri, kita doakan semoga berjalan lancar dan dipelihara Allah SWT," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 6:07pm
    d