mutakhir

Pengurusan masjid, pihak berkuasa negeri tentukan bilangan jemaah [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Mahaizura Abd Malik

PENENTUAN bilangan jemaah akan dibuat oleh pengurusan masjid dan pihak berkuasa setiap negeri kerana jumlah yang tidak ramai serta terhad untuk solat jemaah.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri berkata, di Wilayah Persekutuan semua 86 masjid akan dibenarkan termasuk lebih 100 surau Jumaat serta beberapa surau terpilih berdasarkan saiz dan sebagainya.

"Ikut apa yang diputuskan satu kumpulan jemaah saja. Tak payah pakat tunggu satu kumpulan, dua kumpulan, satu saja.

"Berhubung bilangan jemaah, ia adalah tertakluk kepada keputusan pihak berkuasa agama negeri masing-masing setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara," katanya pada sidang media hari ini.

Ditanya mengenai jumlah jemaah untuk syarat sah solat Jumaat, beliau berkata, ia dibahaskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan yang melihat dalam kerangka lebih luas.

"Sebab itu ada yang sebut tiga, empat, lima, 12 orang. Dalam mazhab kita ada dua pendapat, ada kata 40, ada pendapat lama kata kurang daripada itu pun dibolehkan.

"Jadi kita di Wilayah Persekutuan mengambil pandangan Imam Ghazali dan yang dikemukakan sebahagian Syafiiah yang mengatakan kalau di tempat tersebut ada 20 atau 30 orang, boleh didirikan solat Jumaat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 14, 2020 @ 6:11pm
    d