mutakhir

61 lorong tikus keluar masuk negara dikenalpasti [METROTV]

Oleh Ruwaida Md Zain

SEBANYAK 61 lorong tikus yang menjadi laluan keluar dan masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini melalui perairan Selangor dikenalpasti.

Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Superintendan Rudy Abdullah berkata, lorong tikus itu membabitkan enam daerah polis persisir pantai iaitu Sabak Bernam, Sepang, Kuala Langat, Kuala Selangor, Klang Utara dan Klang Selatan.

"Kesemua lorong tikus ini dipantau ketat oleh Polis Selangor dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

"Kami sentiasa bekerjasama, cuma bezanya kali ini kita melakukan Op Covid-19, jadi operasi rondaan, pemantauan, kawalan, penguatkuasaan diperingkatkan untuk menjaga keselamatan kita semua menerusi perairan.

"Op Covid-19 ini rondaan setiap hari mengikut shif yang ditetapkan, cuma lebih ditingkatkan lagi terutama lokasi tumpuan di pesisir pantai dalam usaha mengekang penularan Covid-19," katanya.

Beliau berkata berkata demikian dalam sidang media selepas tinjauan lorong-lorong tikus di perairan Selangor bersama Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, Deputi Superintendan Hazri Zakaria, petang semalam.

Ketika tinjauan, pihaknya turut melakukan pemeriksaan ke atas feri penumpang bagi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mengadakan lawatan ke Pulau Ketam, tinjauan perairan laut kapal dan Pelabuhan Utara.

Beliau turut mengambil kesempatan berbuka puasa dengan anggota yang bertugas membuat rondaan di perairan sebagai tanda sokongan dan memberi semangat kepada mereka di Kapalronda PT2.

Rudy berkata, pihaknya juga bersedia berdepan dengan kemungkinan akan ada pati yang akan pulang ke negara mereka dan masuk semula selepas Aidilfitri minggu depan.

"Setakat ini tiada yang masuk tetapi mengikut maklumat, kemungkinan akan ada selepas Aidilfitri (masuk), bagaimanapun kita akan terus pertingkatkan kawalan di persisir pantai," katanya

Sementara itu, Hazri berkata, fokus utama PPM adalah mengelakkan penangkapan sebaliknya melakukan pengusiran, bagaimanapun jika ia tidak berjaya, mereka akan ditangkap mengikut Prosedur Standard Operasi (SOP) tangkapan sepatutnya.

"Seboleh-bolehnya kita cuba usir pati supaya tidak masuk ke perairan kita, sebab jika kita tangkap dan ambil mereka, risiko lebih besar kepada pegawai dan anggota yang tangkap mereka. Kemudian bawa pula ke balai, yang urus kes pula timbul risiko termasuk pegawai dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Jadi kita tidak bagi mereka masuk, jangan masuk.. pergilah mana nak pergi, kita iringi mereka sehingga sempadan perairan negara, buka radar dan tengok dan pantau pergerakan mereka kerana dikhuatiri ada patah balik. Kita tidak mahu kluster baru merebak disebabkan kemasukan mereka," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 9:31am
    d