mutakhir

PKP beri kesan kesejahteraan mental

Oleh Redzuan Muharam

PEKERJA yang bercuti dan hilang pekerjaan dipercayai mengalami kesejahteraan mental yang teruk dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dapatan itu diperoleh berdasarkan kaji selidik dijalankan organisasi penyelidikan, The Centre terhadap 720 daripada 1084 responden di seluruh negara dengan majoritinya berada di Lembah Klang sewaktu minggu ketiga PKP.

Kajian itu diterajui Ketua Pegawai Eksekutif The Centre Dr Idlan Zakaria dan penyelidik Aziff Azuddin dengan rundingan bersama Pakar Perunding Kanan Psikiatri, Pusat Pakar Universiti Malaya (UM) (UMSC) Prof Madya Dr Amer Siddiq Amer Nordin.

Menurut Dr Idlan , hasil dapatan menunjukkan 39 hingga 54 peratus responden mengakui mengalami gangguan emosi kesan daripada pengurangan gaji.

Katanya, golongan yang tiada perubahan terhadap gaji mereka pula melaporkan tahap kemurungan, kebimbangan dan tekanan berada pada tahap rendah.

"Sementara itu, golongan pelajar dan penganggur mengalami kesejahteraan mental negatif

semasa PKP berbanding dengan yang lain.

"Responden dalam kalangan pelajar melaporkan bahawa kekurangan peluang pekerjaan adalah salah satu kebimbangan utama mereka selepas PKP.

"Responden yang bekerja sebelum PKP melaporkan berlaku perubahan dalam status pekerjaan mereka selepas PKP berkuatkuasa," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Dr Idlan, pekerjaan separuh masa mengalami perubahan yang paling tinggi berhubung dengan status pekerjaan mereka.

Berdasarkan dapatan diperoleh, 27 peratus golongan itu melaporkan mereka tidak boleh bekerja, 20 peratus lagi sedang cuti tanpa gaji atau dikurangkan gaji dan tujuh peratus sudah hilang pekerjaan .

"Responden yang bercuti tanpa gaji mengalami tahap kemurungan yang tinggi.

"Mereka yang hilang pekerjaan pula mengalami tahap kebimbangan dan tekanan yang tinggi.

"Walaupun responden melahirkan kebimbangan mengenai keupayaan membayar bil, sewa dan pinjaman semasa PKP, lebih ramai menyatakan rasa khuatir selepas PKP," katanya.

Menurut Dr Idlan, hakikatnya, PKP dan krisis Covid-19 mendedahkan betapa gentingnya isu kesihatan dan kesejahteraan mental dalam kalangan rakyat Malaysia.

Katanya, isu itu pasti melangkau tempoh PKP, lebih-lebih lagi dengan masalah ekonomi yang mendatang.

Justeru, The Centre berharap pihak kerajaan meneruskan usaha untuk menangani isu kesihatan mental secara jangka masa panjang dan dengan berkesan.

"Ini. termasuk mengambil kira pendekatan berdasarkan komuniti dan sokongan yang tersasar kepada

golongan yang paling terjejas.

"Kami juga mencadangkan peningkatan infrastruktur sokongan kesihatan mental, bukan sahaja di klinik dan hospital, tetapi juga di peringkat komuniti," katanya.

Dalam pada itu, Dr Amer Siddiq berkata, faktor kestabilan ekonomi mempengaruhi tempoh pemulihan emosi dan kesejahteraan mental individu yang terkesan.

"Masalah ini perlu ditangani kerana dengan ekonomi yang tidak menentu, ada kemungkinan situasi jadi lebih teruk lagi," katanya.

Terdahulu, Jabatan Perangkaan (DOSM) mengesahkan pengangguran di negara ini diunjurkan dalam lingkungan 3.5 peratus hingga 5.5 peratus tahun ini berikutan impak penularan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, langkah kerajaan membuka sektor ekonomi dalam tempoh PKP selain menyediakan pakej rangsangan ekonomi membantu pekerja dan isi rumah menghadapi situasi kritikal berikutan wabak itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 3:05pm
    d