mutakhir

Sebak, gembira dapat solat Jumaat semula [METROTV]

Oleh Mohamed Farid Noh

MASJID dan surau di Johor mengadakan solat Jumaat yang disertai 12 jemaah membabitkan ahli jawatankuasa masjid atau surau, hari ini.

Pengarah Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki A Shamsudin berkata, ia membabitkan 836 masjid dan 92 surau di seluruh negeri itu.

"Alhamdulillah, 928 masjid dan surau di negeri ini mengadakan solat Jumaat semula dengan 12 jemaah membabitkan ahli jawatankuasa masing-masing," katanya ketika dihubungi.

Kelmarin, JAINJ membenarkan hanya 12 orang menunaikan solat Jumaat di masjid dan surau yang diberi kebenaran melaksanakannya sepanjang tempoh Perintah PKPB, bermula hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama negeri, Tosrin Jarvanthi dilaporkan berkata, 12 jemaah terbabit adalah imam satu, imam dua, bilal, noja dengan lapan ahli jawatankuasa.

Tinjauan di Masjid Daing Abdul Rahman, Nusa Idaman ketika solat Jumaat tadi mendapati seorang ahli jawatankuasa masjid ditugaskan di pintu pagar utama masjid bagi memastikan tiada orang awam hadir selain mereka yang ditetapkan.

Mohd Zulkarnean Ramli, 40, berkata tidak berlaku kedatangan orang ramai ke masjid berkenaan bagi mengerjakan solat Jumaat namun langkah berjaga-jaga tetap diambil.

"Hanya beberapa pendatang asing warga Bangladesh yang hadir untuk bersolat Jumaat berikutan mereka mendapat maklumat tidak tepat.

"Namun mereka beredar apabila dimaklumkan hanya jawatankuasa masjid dibenarkan melakukan solat berkenaan.

"Alhamdulillah, saya juga amat bersyukur kerana mendapat rezeki terpilih mengerjakan solat Jumaat hari ini selepas lapan minggu ia tidak diadakan," katanya.

Bilal masjid berkenaan, Ruhaizat Sham, 59, berkata perasaan gembira bercampur baur dengan kerisauan apabila dibenarkan mengerjakan solat Jumaat bersama 12 ahli jawatankuasa masjid berkenaan.

"Sebelum ini hanya bertiga mengerjakan solat fardu berjemaah di masjid ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu. Hari ini terasa sebak dan gembira yang sukar diluahkan apabila jemaah semakin bertambah walaupun dihadkan seramai 12 orang.

"Masih ada perasaan risau berikutan wabak Covid-19 belum hapus, namun berikutan semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan sudah diambil sejak semalam malah kawasan ini berada dalam zon hijau, kerisauan yang ada terhakis, " katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 3:29pm
    d