mutakhir

Kebanyakannya boleh bekerja

Oleh Nurul Amanina Suhaini

GELANDANGAN yang ditempatkan di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai, Kulai mempunyai harapan meneruskan kelangsungan kerana sebahagian besarnya mampu bekerja.

Pegawai Daerah Kulai, Mohd Radzi Mohd Amin berkata, ketika ini terdapat 114 golongan gelandangan masih berada di situ berbanding 248 pada 4 April lalu.

Katanya, rata-rata individu yang berada di penempatan sementara gelandangan itu berusia 25 hingga 40 tahun dan 50 peratus dalam kategori boleh bekerja.

"Oleh itu kita akan membantu mereka yang mahu bekerja dengan cara membawa majikan sektor industri dan perkhidmatan datang ke sini untuk membuat temuduga.

"Ada antara mereka sebatang kara tapi bukan selamanya mereka duduk di sini. Terdapat majikan yang menyediakan kemudahan asrama dan kita bersama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberi sesuatu yang bermanfaat untuk kehidupan mereka," katanya ketika ditemui hari ini.

Mohd Radzi berkata, pada masa sama pihaknya juga berusaha mencari keluarga atau waris penghuni terbabit kerana ada yang berasal dari Kelantan, Kedah, Selangor, Perak, Sabah dan Sarawak.

"Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang tidak ada pergerakan, namun apabila memasuki fasa Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), ramai yang sudah dihantar pulang kepada keluarga masing-masing.

"Pusat sementara yang menempatkan golongan gelandangan susulan penularan wabak ini akan beroperasi sehingga pandemik Covid-19 pulih," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 4:52pm
    d