mutakhir

AJK perlu bertanggungjawab patuhi SOP

Oleh Muhammad Zulsyamini Sufian Suri

DUA belas ahli jawatankuasa kariah masjid dan surau diri Jumaat (SDJ) di Perak yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat dan sunat Aidilfitri susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) perlu bertanggungjawab mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) Datuk Mohd Yusop Husin berkata, imej buruk akan terpalit kepada institusi agama Islam sekiranya terdapat kluster jangkitan baharu yang dikenal pasti berpunca dari masjid serta surau yang dibenarkan mendirikan solat.

Menurutnya, walaupun pemantauan turut dilakukan pihak penguat kuasa jabatan itu di setiap daerah, namun terdapat kebarangkalian sesetengah masjid dan SDJ tidak mengikuti garis panduan yang ditetapkan seterusnya meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

"Terdapat 668 masjid dan kira-kira 60 SDJ di Perak justeru tidak memungkinkan kesemuanya itu dapat dipantau penguat kuasa kami dalam satu masa ketika solat Jumaat atau sunat Aidilfitri didirikan apatah lagi memastikan kesemua SOP dituruti.

"Saya harap janganlah beri ruang kepada mereka yang bukan dalam kalangan ahli jawatankuasa kariah yang ditetapkan untuk turut sama berjemaah, kemungkinan kebenaran ini kita akan tarik semula bagi masjid atau SDJ yang didapati tidak mematuhinya," katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Solat Jumaat di Masjid Sultan Azlan Shah, Jalan Raja Musa Mahadi di Ipoh hari ini.

Solat berkenaan diimamkan Syed Mohd Muzzaffar Syed Azlan yang turut berperanan sebagai khatib.

Dalam perkembangan sama, Mohd Yusop yang juga timbalan pengerusi masjid itu berkata, tiada perbincangan dibuat pihaknya mengenai kebenaran amalan ziarah kubur sempena hari raya walaupun beranggapan ia sesuatu yang tidak wajar.

"Ziarah kubur sewaktu hari raya hanya adat, manakala tumpuan penting sepanjang menghadapi pandemik ini adalah menghindari sebarang perhimpunan membabitkan jumlah yang ramai. Kalau satu kubur sudah ramai sanak-saudara yang berhimpun rapat-rapat, apatah lagi ditambah dengan perhimpunan di kubur lain dalam perkuburan sama," katanya.

Sementara itu, Syed Mohd Muzzaffar berkata, rindunya terubat selain berasa sayu selepas lebih dua bulan tidak berpeluang mendirikan solat Jumaat apatah lagi mengimamkan jemaah susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

"Sewaktu pengisytiharan mengenai kebenaran mendirikan solat Jumaat dan Sunat Aidilfitri di Perak dibuat semalam, saya batalkan program kuliah (secara atas talian) hari ini untuk hadir mengimamkan solat Jumaat.

"Saya sanggup meminta ihsan imam yang sepatutnya bertugas pada minggu ini untuk mengimamkan solat Jumaat hari ini memandangkan giliran tugas saya adalah pada minggu pertama," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 15, 2020 @ 5:14pm
    d