mutakhir

Perlu runding dengan agensi pelancongan

Oleh Mahaizura Abd Malik

PELANGGAN yang tidak dapat meneruskan perjalanan ke luar negara diminta berunding dengan agensi pelancongan masing-masing bagi menyelesaikan isu pemulangan wang.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau sudah meminta Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) supaya campur tangan dalam membantu mereka yang terjejas dengan isu itu.

"Sebenarnya (isu ini membabitkan) hubungan kontrak sesuatu perjanjian antara pelancong dengan ejen tiada kena mengena dengan kerajaan.

"Tetapi dari segi kemanusiaannya sepatutnya mereka perlu pulang duit itu kerana bukan batal atas kehendak mereka tetapi terbatal kerana polisi kita tetapkan rakyat tidak dibenarkan ke luar negara.

"Saya harap mereka dapat berbincang antara pelanggan dengan agensi pelancongan itu mungkin kalau tidak pulang duit sekalipun boleh terbang di masa akan datang atau pakej itu dibawa ke hadapan supaya pelanggan dan agensi itu juga tidak rugi.

"Bagaimanapun saya sudah cakap dengan Menteri Pelancongan minta kementerian itu bantu mereka yang tidak dapat wang kembali apabila perjalanan mereka dibatalkan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Beliau mengulas mengenai aduan terdapat egensi pelancongan enggan kembalikan wang pelanggan selepas pakej perjalanan mereka dibatalkan akibat PKP.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, kerajaan bersetuju membenarkan pejabat agensi pelancongan dibuka terhad hanya untuk urusan pentadbiran, kewangan dan pengurusan pakej pelancongan.

"Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Menteri hari ini memutuskan untuk membenarkan pejabat agensi pelancongan dibuka untuk urusan pentadbiran, kewangan dan pengurusan penjualan pakej pelancongan sebagai persediaan sekiranya PKP ditamatkan.

"Pakej ini untuk digunakan selepas PKP tamat tetapi kebenaran ini hanya untuk urusan persediaan," katanya.

Katanya, kerajaan juga memutuskan tidak membenarkan pengangkutan awam menaikkan tambang caj pada waktu ini berikutan harga petrol masih pada tahap rendah.

"Terdapat aduan berkenaan caj tambang feri ke Langkawi dari Kuala Kedah ke Kuala Perlis dinaikkan sebanyak RM10," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 16, 2020 @ 4:02pm
    d