mutakhir

Teman lelaki remaja campak bayi direman

Oleh Zuhainy Zulkiffli

PEMBANTU kedai yang juga teman lelaki kepada remaja yang mencampakkan bayi perempuan dari tingkat empat Flat Persiaran Mayang Pasir, Bayan Baru, 13 Mei lalu, direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A Anbalagan berkata, lelaki berusia 18 tahun yang ditahan pada 14 Mei lalu itu direman sehingga 20 Mei ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, wanita berusia 18 tahun yang juga ibu kandung bayi itu pula direman sejak semalam hingga 22 Mei ini.

"Bayi berkenaan masih dirawat di unit rawatan rapi Hospital Pulau Pinang (HPP) dan dalam keadaan stabil.

"Difahamkan oleh doktor bahawa bayi berkenaan tidak perlu menjalani pembedahan berikutan kecederaan pada otak tidak begitu serius," katanya ketika dihubungi NSTP, hari ini.

Terdahulu, dalam kejadian 8 pagi itu, bayi berkenaan ditemui penghuni flat selepas terdengar bunyi dentuman kuat di luar rumah.

Ibu bayi itu mengaku melahirkan bayi pada 7 pagi di dalam tandas rumah tanpa pengetahuan ahli keluarga dan mendakwa membuang bayinya selepas panik serta mengelak diketahui ahli keluarga.

Selain kecederaan pada otak, bayi malang itu turut dilaporkan mengalami retak tempurung kepala dan kecederaan pada hati.

Teman lelaki suspek yang juga pembantu kedai ditahan selepas menyerah diri di Balai Polis Bayan Baru pada jam 8.40 malam sehari kemudian, manakala wanita berkenaan dibenarkan keluar hospital pada 15 Mei lalu.

Berita berkaitan

Teman lelaki kes remaja campak bayi ditahan

Bayi dicampak cedera di otak

Polis buru bapa bayi dicampak

Campak bayi dari tingkat 4

Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 1:35pm
d