mutakhir

Individu ingkar PKPB meningkat

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

SERAMAI 132 individu yang ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM), semalam.

Menteri Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kesemua individu yang ditahan itu kini direman untuk siasatan lanjut.

"Nampaknya setiap hari mereka yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) PKPB bertambah dari seorang ke 10 orang seterusnya meningkat kepada 72 orang semalam dan hari ini meningkat 132 orang.

"Mungkin ramai menganggap PKPB tidak tertakluk kepada undang-undang. Apabila ditahan mereka akan dikenakan kompaun RM1,000 atau dihadapkan ke mahkamah," katanya dalam sidang media harian PKP di Putrajaya, hari ini.

Mengulas mengenai pemeriksaan pematuhan PKPB, Ismail Sabri berkata, sebanyak 70,461 pemeriksaan dilakukan semalam membabitkan 4,870 pasar raya, restoran (4,600), bank (3,536), kilang (1,201) dan penjaja (647) di seluruh negara.

Menurutnya, pemeriksaan juga dibuat di 1,541 terminal pengangkutan darat, pengangkutan air (167) dan udara (72) selain pasar awam (2,060), tempat ibadat (3,679), tempat riadah (1,256) serta tapak pembinaan (446).

Beliau berkata, pemeriksaan berkenaan dilakukan oleh 3,185 pasukan pematuhan yang membabitkan kekuatan 18,756 anggota PDRM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 3:54pm
    d