mutakhir

KKM sokong tetapkan had umur masuk pasar raya

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) menyokong usaha pasar raya tertentu yang meletakkan syarat had umur untuk memasuki premis mereka dalam usaha mencegah golongan berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, golongan berisiko tinggi adalah warga emas dan kanak-kanak.

Katanya, definisi warga emas adalah golongan yang berusia 60 tahun ke atas dan sekiranya mempunyai sakit kronik lebih tinggi risiko untuk maut jika dijangkiti virus pandemik itu.

"Penyakit kronik contohnya kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung, risiko lebih tinggi. Untuk golongan kanak-kanak pula adalah yang berusia di bawah 12 tahun.

"Jika kita lihat di hospital pun pelawat berusia bawah 12 tahun tidak dibenarkan. Ini kerana kita bimbang ada jangkitan kuman di klinik atau hospital.

"Kalau boleh jangan bawa kanak-kanak yang berusia 12 tahun ke bawah dan warga emas berusia 60 tahun terutamanya berpenyakit kronik ke atas datang di tempat awam contohnya di hospital atau pasar raya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media harian perkembangan terkini Covid-19 di Putrajaya, hari ini.

Dr Noor Hisham memberikan reaksi terhadap soalan wartawan berhubung ada pasar raya tertentu meletakkan syarat umur untuk pelanggan yang dibenarkan masuk ke premis mereka.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 17, 2020 @ 5:33pm
    d