mutakhir

Pulau Pinang tidak benarkan ziarah kubur pada Aidilfitri

Oleh Nur Izzati Mohamad

UMAT Islam di Pulau Pinang dilarang untuk melakukan aktiviti ziarah ke tanah perkuburan pada Hari Raya Aidilfitri ini bagi mengelak penularan wabak Covid-19.

Larangan itu juga susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang perlu dipatuhi bukan sahaja penduduk di negeri itu, bahkan seluruh negara.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, umat Islam perlu bersabar dengan mematuhi larangan demi menjaga kemaslahatan sekali gus mengelak diri daripada ditimpa musibah.

"Amalan menziarah kubur ini hukumnya adalah sunat sahaja, maka disarankan supaya umat Islam menundakan aktiviti ini.

"Minta semuanya bersabar dan teruslah patuh pada PKPB bagi memutuskan rantaian wabak Covid-19," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Replika Kunci Rumah kepada lima buah keluarga asnaf di Kampung 20, Penaga, Kepala Batas, hari ini.

Mengulas lanjut mengenai kebenaran solat Jumaat, Ahmad Zakiyuddin berkata, Pulau Pinang hanya membenarkan 15 sahaja individu yang terdiri daripada ahli jawatakuasa kariah masjid.

"Panduan untuk mendirikan solat Jumaat sedang disiapkan dan ia akan digunapakai setiap ahli jawatankuasa masjid pada minggu ini.

"Umat Islam lain diminta akur dan faham akan keadaan semasa" katanya.

Katanya, walaupun solat Jumaat dilakukan dalam keadaan terkawal, namun ia dapat menegakkan syiar Islam sekali gus berharap wabak penyakit yang melanda dunia berakhir.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 1:49pm
    d