mutakhir

Bertindak segera sebelum harga ayam terus naik [METROTV]

Oleh Zuliaty Zulkiffli

HARGA ayam dijangka terus meningkat menjelang dua hari sambutan Aidilfitri berikutan dakwaan peniaga terpaksa membeli bekalan ayam pada harga lebih tinggi daripada pembekal.

Tinjauan Harian Metro di Pasar Besar Alor Setar, hari ini mendapati ayam dijual pada harga antara RM7.90 sehingga RM9 sekilogram.

Setiausaha Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohd Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menerima banyak aduan berkaitan harga ayam terlalu tinggi sehingga mencecah RM13 sekilogram di negeri ini.

Menurutnya, kenaikan itu amat membebankan pengguna yang terpaksa berjimat disebabkan sebelum ini tidak dapat bekerja akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan Covid-19.

"Justeru, CAKE minta kerajaan mengumumkan skim kawalan harga ketika musim perayaan dengan segera bagi mengelak ada pihak yang mengambil kesempatan.

"Harga RM13 bukan seekor ayam, tapi hanya satu kilogram dan itu amat mahal berbanding sebelum PKP cuma RM5 atau RM6 sekilogam saja," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan, hari ini.

Mohd Yusrizal berkata, peniaga memberi alasan bahawa pemborong mendakwa mereka sukar untuk menghantar bekalan kepada peniaga ketika PKP lalu.

Menurutnya, apabila kerajaan melonggarkan syarat menerusi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), mereka terpaksa menaikkan harga untuk menampung kerugian sebelum ini.

"Kita dimaklumkan harga ayam dijangka meningkat dua hari menjelang Aidilfitri dan ia akan menyebabkan pengguna berdepan bebanan.

"Justeru, kerajaan perlu bertindak segera untuk mengatasi masalah ini sebelum Aidilfitri ini kerana ia juga berlaku di seluruh negara," katanya.

Peniaga ayam, Wan Ahmad Fauzi Wan Ismail, 49, berkata kenaikan harga berlaku disebabkan kenaikan harga dari ladang akibat Covid-19 kerana sebelum ini harga merudum sehingga mencecah RM4 sekilogram.

Katanya, disebabkan berlaku kenaikan ketara di peringkat penternak mengakibatkan peniaga ayam terpaksa menaikkan harga untuk menampung kos pekerja dan lain-lain.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 18, 2020 @ 4:26pm
    d