mutakhir

Terengganu tak galak ziarah kubur

Oleh Baharom Bakar

UMAT Islam di Terengganu tidak digalakkan menziarahi tanah perkuburan pada Aidilfitri minggu depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, kerajaan negeri memutuskan tidak menggalakkan aktiviti menziarahi tanah perkuburan bagi mengelakkan perhimpunan.

Beliau berkata, walaupun Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri belum membuat keputusan melarang lawatan atau menziarahi tanah perkuburan, tetapi kerajaan negeri mengambil pendekatan mengekang penularan wabak Covid-19.

"Kerajaan negeri melarang sebarang bentuk pertemuan atau perhimpunan diadakan di semua lokasi terutama di tanah perkuburan bagi mengelakkan berlaku pelanggaran peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seperti ditetapkan.

"Jika berlaku perhimpunan terutama ketika menziarahi tanah perkuburan pada musim perayaan, pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB mungkin tidak dapat dielakkan," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Payong meminta semua umat Islam supaya menangguhkan menziarahi tanah perkuburan sehingga tamat PKPB atau apabila situasi negara kembali pulih daripada wabak Covid-19.

"Dalam situasi sekarang, kita mohon kepada orang ramai supaya tidak memilih Aidilfitri untuk mengunjungi tanah perkuburan secara beramai-ramai, tambahan pula keadaan sekarang masih belum pulih sepenuhnya," katanya.

Dalam perkembangan lain, Timbalan Mufti negeri, Ahadi Othman menjelaskan berdasarkan hukum syarak, amalan ziarah kubur adalah sunat dan boleh dilakukan tanpa terikat pada Aidilfitri atau Aidiladha.

Jelasnya, ziarah tanah perkuburan tiada kaitan dan tidak khusus pada hari raya saja.

"Sepanjang tempoh PKPB, umat Islam perlu mematuhi SOP ditetapkan kerajaan terutama menjaga penjarakan sosial, tidak berlaku perhimpunan, sentiasa menjaga kebersihan bagi mengelak berlakunya penularan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 2:17pm
    d