mutakhir

Tiada SOP larang bawa anak ke pusat beli-belah [METROTV]

Oleh Yusmizal Dollah Aling dan Muhaamad Hafis Nawawi

TIADA prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan melarang ibu bapa membawa anak mereka ke pusat beli-belah sebaliknya ia lebih kepada memberi nasihat untuk mengelakkan terdedah kepada bahaya dijangkiti Covid-19.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya ada berbincang mengenai ibu bapa membawa anak kecil ke pusat beli-belah tetapi setakat ini tiada SOP dan lebih kepada nasihat.

Menurutnya, ada beberapa implikasi yang perlu dipertimbangkan jika diadakan SOP itu dan sebagai contoh jika ibu tunggal mempunyai anak kecil.

"Kalau mereka dihalang bawa anak ke pusat beli-belah, boleh dikenakan kompaun jika tetap membawanya selain di mana mereka hendak tinggalkan kanak-kanak itu jika hendak ke pusat beli-belah.

"Kalau bawa kena saman, kalau kunci dalam rumah mungkin berlaku sesuatu dan kalau tinggal dalam kereta takut kes kematian.

"Jadi banyak perkara, kita pertimbangkan beberapa isu. Buat masa ini kita minta KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) dengan MKN (Majlis Keselamatan Negara) berbincang semula lebih lanjut," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, Covid-19 akan terus berada di persekitaran sekitar minimum dua tahun dan mengikut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), mungkin lima tahun sehingga ditemui vaksin yang mana jika rasa bahaya, ibu bapa tidak perlu membawa anak mereka ke pusat beli-belah.

"Kalau dua tahun tak mungkin PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kekal dan apabila ia ditamatkan, SOP dan peraturan tidak boleh dikenakan, maka kawalan kendirilah yang perlu dilakukan," katanya.

Mengulas mengenai ziarah kubur, Ismail Sabri berkata, ia masih di peringkat nasihat dan tiada SOP ditetapkan melarang orang ramai menziarah kubur di hari raya.

"Semalam Ketua Pengarah Kesihatan menasihatkan supaya tidak pergi kubur dan hari ini pun tidak dibincangkan mengenai SOP ziarah kubur.

"MKN dan KKM boleh berbincang jika hendak keluarkan SOP dan maklumkan pada kita tetapi saya percaya kawalan kendiri, disiplin lebih penting daripada setiap masa ingin membuat peraturan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 19, 2020 @ 3:23pm
    d