mutakhir

Penggambaran tidak lebih 20 orang [METROTV]

Oleh Yusmizal Dolah Aling dan Mahaizura Abd Malik

AKTIVITI penggambaran sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dibenarkan bermula selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran itu tertakluk kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) sedia ada termasuk mesyuarat dan uji bakat diadakan secara atas talian.

Katanya, semua rekod perjalanan tenaga kerja produksi dan artis perlu direkodkan dalam tempoh empat minggu dari tarikh penggambaran dengan had tidak lebih 20 orang setiap penggambaran.

"Ini yang saya sebutkan bahawa kita mereka perlu melihat daripada jumlah kru terbabit. Jadi, mereka bersetuju, kru dan pelakon sekalipun jika dicampur, tidak boleh melebihi 20 orang di set penggambaran.

"Syarikat produksi juga perlu melantik seorang penyelia keselamatan bagi memastikan pematuhan SOP di semua peringkat perkhidmatan produksi," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Ismail Sabri berkata, perkhidmatan bufet juga tidak dibenarkan dan makanan untuk kru perlu disediakan secara bungkusan.

Katanya, jurusolek dan penata rias perlu memakai pelindung muka dan mencuci tangan sebelum dan selepas menata rias artis.

"Jadi kalau ada penggambaran yang rapat-rapat tidak dibenarkan, kecuali kalau ada teknik dari jauh, terserah kepada syarikat perfileman atau drama. Tetapi daripada segi fizikal tidak boleh jarak kurang dari satu meter dan beramai-ramai berkumpul atau sebagainya," katanya.

Menurutnya, persembahan pentas atau secara langsung yang membabitkan tontonan ramai masih tidak dibenarkan.

"Ada tiga yang dia mohon iaitu penggambaran filem, drama dan pengiklanan. Teater dan sebagainya masih belum dibenarkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 3:13pm
    d