mutakhir

200 warga asing ditahan

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

SERAMAI 200 warga asing tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah ditahan ketika pemeriksaan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di sekitar Pasar Jalan Othman, di Petaling Jaya, hari ini.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, selain tiada dokumen sah, pihaknya turut mengesan sekumpulan warga asing yang tinggal lebih masa.

"Antara kesalahan warga asing yang ditahan itu adalah tiada dokumen pengenalan diri dan tinggal lebih masa.

"Mereka disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya ketika ditemui selepas tamat operasi berkenaan.

Khairul Dzaimee berkata, semua warga asing yang ditahan itu akan dihantar pulang ke negara asal selepas selesai menjalani hukuman.

Operasi itu bermula jam 9 pagi dan berakhir tengah hari tadi turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Kementerian Kesihatan (KKM).

Operasi mengesan pendatang asing tanpa izin (PATI) itu dilaksanakan selepas kawasan itu dikatakan dibanjiri warga asing daripada beberapa negara termasuk Pakistan, Bangladesh dan India.

Terdahulu, pada 10 Mei lalu kawasan berkenaan diletakkan di bawah PKPD.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaacob berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat 26 kes positif Covid-19 yang berpotensi memberi risiko penularan jangkitan di kawasan berkenaan sebelum melaksanakan PKPD bagi membendungnya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 4:57pm
    d