mutakhir

Hanya RM80 untuk petugas barisan hadapan

Oleh Amir Mamat

HARGA bilik serendah RM80 ditawarkan kepada petugas barisan hadapan yang berkhidmat mengekang Covid-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bayou Lagoon Park Resort di Bukit Katil, Melaka, membuat tawaran itu sebagai usaha mengenang jasa golongan berkenaan yang berkorban masa dan tenaga untuk memastikan keselamatan orang ramai sentiasa terjamin.

Pengarah Urusan Bayou Lagoon Park Resort, Datuk Marco Seow berkata, pihaknya menawarkan 'Pakej RM80' susulan resort itu tidak tersenarai sebagai hotel kuarantin wabak Covid-19 kerana kriteria tidak menepati kehendak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) baru-baru ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, pihaknya menawarkan bilik selesa dan selamat dengan beberapa kemudahan lain turut disediakan kepada pelanggan.

"Harga bilik istimewa ini sebahagian daripada penghargaan kami terhadap pahlawan yang bertarung masa siang dan malam bagi memerangi wabak Covid-19.

"Selain itu, satu pakej cuti khas turut disediakan kepada pelancong apabila mereka boleh membeli baucar penginapan dan taman tema air dengan harga RM100 serta melancong kemudian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Kelab Sukan Bayou Lagoon mengagihkan bantuan makanan kepada kakitangan serta pelatih industri warga Indonesia yang sudah memulakan tugas di resort berkenaan sejak sebelum PKP dilaksanakan.

Bantuan menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu disampaikan Presiden kelab sukan terbabit, Mohd Sharin Hairuddin mewakili Seow.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 5:53pm
    d