mutakhir

Johor jamin bekalan cukup, permintaan daging berkurangan

Oleh Omar Ahmad

JOHOR beri jaminan semua bekalan hasil pertanian dan penternakan adalah mencukupi pada musim perayaan Aidilfitri.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri Datuk Samsolbari Jamali berkata, orang ramai tidak perlu bimbang mengenai jumlah bekalan bahan keperluan terbabit.

Menurutnya, sebagai pengeluar utama daging, ayam, ikan dan sayur-sayuran, Johor tidak menghadapi masalah kekurangan bekalan kerana aktiviti pertanian dan penternakan beroperasi seperti biasa ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Peritah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

"Bekalan daging lembu, kambing dan ayam adalah berlebihan kerana terdapat penurunan permintaan sepanjang tempoh PKP dan PKPB.

"Kita mempunyai bekalan daging lembu yang banyak kerana permintaannya berkurangan antara 20 hingga 50 peratus sepanjang tempoh terbabit.

"Begitu juga dengan bekalan daging kambing apabila permintaannya berkurangan sebanyak 50 hingga 80 peratus kerana tiada majlis keramaian atau kenduri kahwin yang diadakan ketika musim Covid-19.

"Bekalan terhadap ayam juga tiada masalah kerana kita mempunyai bekalan yang mencukupi, malah berlebihan apabila permintaan ayam mengalami pengurangan antara 40 hingga 50 peratus.

"Permintaan bagi telur ayam adalah stabil. Walaupun kita dapati bahawa permintaan terhadap ikan meningkat sepanjang tempoh ini, namun bekalannya tetap mencukupi untuk sambutan Aidilfitri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Samsolbari, Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Johor sudah mengeluarkan permit penyembelihan 539 ekor lembu, tujuh kerbau, 318 kambing dan 55 biri-biri bagi sambutan Aidilfitri ini.

Katanya, bagi memudahkan orang ramai membeli pelbagai hasil pertanian, kerajaan negeri menggalakkan pengoperasian pusat pemasaran yang mencukupi.

"Walaupun pasar malam dan pasar tani tidak dibenarkan beroperasi, namun terdapat lapan Pasar Segar Terkawal oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dibuka.

"Selain itu, 18 Agrobazar turut beroperasi seluruh negeri ini, empat kompleks pendaratan ikan, sembilan pasar nelayan, dua pusat pengumpulan dan pengedaran ikan (CCDC) dan 11 pasar borong dan runcit akan beroperasi di bawah kelolaan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Johor," katanya.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 12:00pm
    d