mutakhir

Jangan ingat boleh lepas

Oleh Isma Ismail; Sri Ayu Kartikawati Amri dan Yusmizal Dolah Aling

ORANG ramai yang pulang ke kampung melalui jalan tikus dan sebagainya akan berdepan tindakan polis sebaik balik ke kediaman mereka selepas Aidilfiri.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pihaknya maklum mengenai ada individu yang pulang ke kampung lebih awal sebelum sekatan jalan raya (SJR) dengan menggunakan lorong tikus atau laluan lain untuk berhari raya.

Katanya, SJR oleh polis dibuat selepas dari plaza tol atau sebelum serta jalan lama, namun mungkin ada lorong tertentu dan jalan tikus yang menyebabkan mereka terlepas untuk pulang.

"Perkara seperti ini saya sudah sebutkan, lepas balik kampung tidak bermakna terlepas daripada undang-undang apabila pulang semula ke Kuala Lumpur.

"Jadi yang lepas seperti ini, insya-Allah, saya percaya polis akan cari juga. Saya dah kata, yang balik ke kampung, belum tentu boleh lepas apabila balik ke Kuala Lumpur atau pun tempat kerja nanti," katanya pada sidang media harian di Putrajaya, hari ini.

Beliau mengulas tindakan individu sudah sampai ke kampung yang memuat naik status di media sosial sehingga mengundang tanda tanya orang ramai.

Ismail Sabri berkata, bagi perjalanan udara, polis akan mengadakan sekatan sebelum sampai di lapangan terbang dan di pintu masuk balai berlepas bagi memastikan arahan dipatuhi.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 3:25pm
    d