mutakhir

8 masjid untuk solat Jumaat jalani proses sanitasi.

Oleh Baharom Bakar

LAPAN masjid di setiap daerah seluruh Terengganu yang dibenarkan untuk mengadakan solat Jumaat, esok menjalani proses sanitasi, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Md Hilman Abd Rashid berkata, proses semburan bahan kimia di semua kawasan termasuk dalam dewan bagi mencegah penularan wabak Covid-19 dilakukan di semua masjid terbabit.

Katanya, proses sanitasi akan dilakukan sebanyak dua kali iaitu sebelum dan selepas masjid digunakan untuk solat Jumaat.

"Walaupun semua masjid dan surau di seluruh negeri ini ditutup selepas kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lalu, tetapi proses sanitasi perlu dilakukan bagi mencegah penularan wabak Covid-19.

"Antara lapan masjid yang terbabit dalam proses sanitasi peringkat pertama hari ini adalah Masjid Abidin di Kuala Terengganu dan Masjid Sultanah Nur Zahirah di Marang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Md Hilman berkata, enam masjid lain yang menjalani proses sama ialah Masjid Tengku Ampuan Intan di daerah Dungun, Masjid Sultan Ahmad (Kemaman), Masjid Sultan Mahmud (Hulu Terengganu), Masjid Sultan Nasaruddin Shah (Besut), Masjid Bandar Permaisuri (Setiu) dan Masjid Wakaf Tembusu (Kuala Nerus).

Bagaimanapun, katanya, proses penyemburan bahan kimia yang dilakukan hanya membabitkan di luar masjid terutama tempat mengambil air sembahyang dan tempat letak kereta.

"Proses penyemburan bahan kimia dalam dewan solat akan dilakukan pagi esok selepas urusan penjarakan sosial selesai dilakukan oleh jawatankuasa masjid," katanya.

Katanya, proses penyemburan bahan kimia di semua masjid terbabit akan dilakukan semula, petang esok iaitu selepas selesai solat Jumaat.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 6:56pm
    d