mutakhir

Dikompaun RM1,000 rentas dari Melaka ke Yan

Oleh Nor Farhani Che Ad

PEMBANTU kedai makan dikompaun RM1,000 selepas didapati merentas negeri tanpa kebenaran pihak berkuasa di Kampung Bahagia, Kota Sarang Semut, semalam.

Lelaki berusia 37 tahun itu dikesan berada di sebuah rumah di kampung berkenaan selepas sepasukan polis menerima arahan dari Pusat Kawalan Daerah (DCC) Covid-19 pada 10.30 malam.

Ketua Polis Daerah Yan, Deputi Superintendan Shahnaz Akhtar Haji berkata, siasatan mendapati lelaki terbabit melakukan pergerakan merentas negeri dari Melaka menuju ke kampung berkenaan.

"Ketika ditanya, lelaki berkenaan memberitahu dia baru sampai ke alamat yang diperiksa iaitu rumah keluarganya dari alamat semasanya yang terletak di Melaka Tengah, Melaka.

"Apabila diminta untuk mengemukakan dokumen bertulis daripada pihak berkuasa dan alasan bagi merentas sempadan negeri, lelaki itu gagal berbuat demikian," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahnaz berkata, pihaknya kemudian membawa lelaki itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Yan untuk tindakan lanjut.

Katanya, hasil soal siasat lelaki terbabit mengaku tiada kebenaran bertulis daripada pihak berkuasa untuk membuat pergerakan rentas negeri.

"Dia mengaku melakukan rentas negeri pada empat hari lalu dengan alasan mahu melawat ayahnya yang sakit kencing manis," katanya.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Peraturan 6(3) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 21, 2020 @ 8:38pm
    d