mutakhir

Dikompaun jual ayam RM9 sekilogram [METROTV]

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

PENIAGA di Pasar Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur dikompaun RM2,500 kerana menjual ayam melebihi harga kawalan pada hari pertama pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), Rabu lalu.

Peniaga terbabit menjual ayam pada harga RM9 sekilogram berbanding RM7.50 seperti yang ditetapkan kerajaan.

Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, peniaga itu diberi masa selama 14 hari untuk membayar kompaun berkenaan.

"SHMMP baru bermula Rabu lalu, dan kami sudah menerima tujuh aduan dengan empat kes dikenakan kompaun sebanyak RM7,000, manakala barangan bernilai RM1,129 dirampas.

"Kami harap peniaga tidak lagi melakukan kesalahan dengan menaikkan harga barang kawalan melebihi harga siling.

"KPDNHEP bukan hendak menambah kes tangkapan, rampasan atau nilai kompaun , tetapi apa yang kami harapkan adalah kepatuhan 100 peratus daripada peniaga," katanya kepada media selepas melawat Pasar Dato Keramat Kuala Lumpur, hari ini.

Hasnol berkata, peniaga perlu mematuhi arahan ditetapkan dan mengamalkan sikap beretika dalam menguruskan perniagaan, manakala pengguna pula perlu mengetahui tanggungjawab dan menggunakan hak mereka.

Katanya, skim ini akan berjaya sekiranya semua pihak bertanggungjawab dan memainkan peranan masing-masing.

Dalam pada itu, beliau berkata, KPDNHEP sudah merampas barang kawalan bernilai RM26.22 juta sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu sehingga semalam.

Hasnol berkata, jumlah itu membabitkan 583 kes dengan 437 kompaun bernilai RM340,750 dikeluarkan.

Katanya, kementerian akan terus meningkatkan pemantauan dan pemeriksaan ke atas bekalan dan harga barangan di seluruh negara.

Ketika ditanya mengenai kenaikan harga ayam yang selalu berlaku ketika apabila musim perayaan, beliau berkata, berdasarkan pemeriksaan dengan penternak dan pemborong ada yang memaklumkan mereka terpaksa menanggung kenaikan harga makanan ayam.

"Bekalan dedak ini kebanyakannya diambil dari luar negara dan kita faham sepanjang PKP ini terdapat sekatan dilakukan.

"Oleh itu, penentuan harga barangan terpilih dibuat mengikut kesesuaian harga semasa dengan turut mengambil kira faktor perubahan harga, khususnya bagi barangan import yang dipengaruhi dari negara asal, perubahan kadar tukaran mata wang dan peningkatan operasi," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 1:46pm
    d