mutakhir

Jangan khuatir - TNB

Oleh Sri Ayu Kartika Amri

TENAGA Nasional Berhad (TNB) menasihatkan pengguna supaya tidak bimbang sebaik menerima bil sebenar mereka berikutan penyambungan semula pembacaan meter yang dihentikan sementara sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berkuat kuasa 18 Mac lalu.

Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, pihaknya sedia maklum mengenai aduan orang ramai mengenai bil tinggi yang diterima menerusi pembacaan bil fizikal yang disambung semula sejak 15 Mei lalu.

"Jangan khuatir. TNB sentiasa berlaku adil dan sensitif dengan kegelisahan segelintir pengguna yang menerima bil sebegini.

"Pegawai Khidmat Pelanggan kami di talian TNB CareLine 1300 88 5454 dan di Kedai Tenaga sentiasa bersedia untuk membantu menjelaskan mengenai perkiraan dan bagaimana pelarasan bil dibuat," katanya dalam kenyataan hari ini.

TNB sebelum ini memaklumkan bahawa sebaik pembacaan bil disambung semula, bil pelanggannya akan diselaraskan.

Semasa operasi pembacaan meter dihenti sementara, TNB mengeluarkan bil anggaran berdasarkan bil bulan sebelum PKP berkuat kuasa.

Mahdzir memaklumkan pelanggan TNB juga boleh mendapatkan makluman mengenai perkiraan bil semasa PKP dengan melayari https://www.tnb.com.my/prihatin.

Katanya, sebagai syarikat yang prihatin mengenai impak wabak Covid-19 kepada rakyat, pada 14 Mei lalu TNB sudah mengumumkan mengenai pakej pasca PKP merangkumi Pelan Bayaran Mudah (PBM), penangguhan surcaj lewat bayar (sehingga 30 September 2020) dan lanjutan penangguhan pemotongan bekalan (sehingga 31 Julai 2020).

"Kesemua ini ditawarkan secara automatik kepada 7.5 juta pelanggan kediaman kami," katanya.

Selain pakej pasca PKP, TNB juga menawarkan diskaun berperingkat berjumlah dua hingga 50 peratus bagi penggunaan dari 1 April hingga 30 September.

Menurutnya, diskaun berperingkat dan pakej pasca PKP ini diharap dapat meringankan lagi beban rakyat yang terjejas akibat wabak Covid-19.

Maklumat lanjut mengenai Pelan Bayaran Mudah, juga boleh dicapai di pautan https://www.tnb.com.my/prihatin serta talian TNB CareLine dan Kedai Tenaga yang berhampiran.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 3:55pm
    d