mutakhir

Gerai jual bahan mentah jadi tumpuan

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

GERAI menjual bahan mentah di Jalan Cheras, dekat Kajang menjadi tumpuan orang ramai untuk persiapan Aidilfitri hujung minggu ini ekoran penutupan Pasar Kajang sejak kelmarin.

Tinjauan mendapati peniaga daging dan sayuran dipenuhi orang ramai yang mahu mendapatkan bekalan bahan mentah sejak pagi.

Penduduk, Azwan Yusuf, 35, berkata, dia lebih gemar membeli bahan mentah seperti daging lembu, sayuran dan keperluan lain di gerai berbanding bersesak di pasar.

Katanya, dalam keadaan negara masih dilanda Covid-19 adalah lebih baik jika mengelak dari berada di tempat tumpuan umum.

"Setiap tahun memang saya akan mendapatkan bekalan bahan mentah di sini kerana harga tidak jauh berbeza jika dibeli di Pasar Kajang.

"Harga daging lembu tempatan juga masih kekal sama, dengan adanya peniaga di gerai ini memudahkan penduduk daripada terpaksa bersesak di pasar," katanya ketika ditemui, hari ini.

Sementara itu, peniaga daging Muhd Hafiz Yansmed, 21, berkata, bekalan daging mudah diperoleh daripada penternak di Bangi Lama.

Katanya, dia dan ibu bapanya akan berniaga dua hari sebelum Aidilfitri sejak lima tahun lalu dan sambutan yang diterima tahun ini memberangsangkan.

"Kami mula berniaga hari ini dengan membeli dua ekor lembu dari penternak. Sambutan dari pagi sangat menggalakkan.

"Penutupan Pasar Kajang menyebabkan orang ramai lebih tertumpu di gerai jualan sepanjang Jalan Cheras dan ia memberi pulangan lebih baik kepada peniaga," katanya.

Katanya, daging lembu tempatan yang dijual pada harga RM37 sekilogram manakala daging Batang Pinang dijual RM40 sekilogram menjadi pilihan pembeli.

Pasar Kajang ditutup untuk orang awam sejak kelmarin bagi operasi sanitasi selain membolehkan ujian saringan Covid-19 dijalankan kepada peniaga dan pekerja pasar awam itu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 22, 2020 @ 4:44pm
    d