mutakhir

Jaga-jaga, ada yang memerhati!

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

POLIS Jempol sudah melakukan pemeriksaan ke atas 45 rumah sekitar Jempol tengah malam tadi, bagi memastikan tiada individu merentas negeri tanpa kebenaran pada malam pertama Aidilfitri.

Timbalan Ketua Polis Daerah Jempol Deputi Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, pemeriksaan membabitkan rumah di sekitar FELDA, taman perumahan dan kampung.

Katanya, polis komited melakukan pemeriksaan ke atas rumah yang berpotensi diziarahi ahli keluarga yang pulang menyambut raya terutama di rumah ibu bapa.

"Ada yang tidak sangka apabila kami datang memberi salam pada 11.30 malam tadi, malah ada yang terkejut kerana tidak menyangka polis akan bertugas hingga lewat malam.

"Kita akan terus membuat pemeriksaan biarpun terpaksa memberi salam dan mengetuk pintu rumah pada jam 3 pagi," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

Harian Metro turut diberi peluang mengikut pemeriksaan ke rumah sehingga jam 12 tengah malam tadi.

Mohd Hafiz berkata, setakat ini, individu yang pulang beraya serta melakukan rentas negeri menunjukkan surat kebenaran daripada polis.

Katanya, polis akan meneruskan pemeriksaan berdasarkan prosedur operasi standard ( SOP) pada hari raya pertama dipatuhi.

"Ini termasuk bermalam di rumah yang dikunjungi pada hari pertama Aidilfitri yang jelas melanggar SOP yang sudah ditetapkan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 24, 2020 @ 9:22am
    d