mutakhir

5 dikompaun rentas negeri, patah balik

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

IBU Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian sudah mengeluarkan notis kompaun kepada individu yang cuba rentas negeri sejak Khamis lalu.

Ketua Polis Daerah Kerian Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata, lima kompaun itu dikeluarkan pihaknya dalam beberapa sekatan jalan raya (SJR) di daerah itu yang diadakan bermula 21 Mei lalu.

Menurutnya, kesemua individu yang dikompaun itu juga turut diarahkan berpatah balik.

"Mereka yang dikompaun itu tidak mempunyai alasan kukuh dan langsung tidak mempunyai sebarang surat kebenaran pihak polis.

"Saya ingin ditegaskan bahawa polis tidak akan bertolak ansur atau berkompromi dengan mana-mana pihak yang ingkar dan cuba melakukan rentas negeri tanpa alasan munasabah dan tanpa kebenaran," katanya yang ditemui ketika meninjau SJR di Hentian Rehat & Rawat (R&R) Alor Pongsu arah selatan, Bagan Serai hari ini.

Menurutnya, pihaknya turut melakukan rondaan di kawasan kampung dan taman perumahan bagi memantau tahap prosedur operasi standard (SOP) hari raya dipatuhi orang ramai.

"Berdasarkan rondaan dan pemantauan yang dibuat, tahap kepatuhan SOP dalam kalangan masyarakat di daerah ini boleh dikatakan mencapai 99 peratus.

"Hanya terdapat satu kes cubaan berkumpul beramai-ramai oleh sekumpulan anak muda di Taman Serai Permai tetapi pihak polis sudah bertindak memberi amaran dan mengarahkan mereka bersurai," katanya.

Dalam perkembangan lain, Omar Bakhtiar berkata, kadar jenayah di daerah itu mencatatkan penurunan lebih 70 peratus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 24, 2020 @ 4:38pm
    d